ADAKAH NORMAL RAMBUT GUGUR SELEPAS BERSALIN?

Usah risau, ia adalah situasi normal buat ibu yang baru melahirkan anak.

Ya, ia normal. Kebanyakan ibu yang baru sahaja melahirkan anak akan mengalami fasa  di mana rambut gugur dengan banyak.

Mengikut pengalaman wanita yang bergelar ibu, begitu juga dengan penulis, ia adalah fasa yang tidak dapat dielakkan. Walaupun tiada kajian saintifik yang mengesahkan apakah puncanya, namun bila difikirkan secara logik terdapat beberapa punca yang boleh mengaitkan kenapa rambut gugur selepas wanita melahirkan bayi.

PERUBAHAN HORMON

Antaranya ialah perubahan hormon. Sepanjang tempoh kehamilan, hormon progesteron dan estrogen pada wanita hamil sangat tinggi.  Hormon  ini menyebabkan pertumbuhan rambut terhenti dalam fasa anagen atau lebih dikenali sebagai fasa pertumbuhan.  Sebab itu, wanita hamil kelihatan lebih berseri-seri dan nampak cantik.

Tetapi,kira –kira dua atau tiga bulan selepas bersalin,  kesemua hormon akan kembali kepada normal, para ibu akan mengalami semula masalah keguguran rambut. Disebabkan sepanjang tempoh kehamilan tidak banyak rambut gugur, kali ini keguguran rambut berlaku dengan lebih banyak.

Selain itu, corak pemakanan yang tidak sihat ataupun kekurangan nutrisi juga boleh menjadi punca keguguran rambut. Ini kerana, di dalam tempoh berpantang, kebanyakan ibu mengawal pemakanan agar dapat mengembalikan bentuk badan yang langsing. Dalam tidak sedar, ramai yang terlupa akan jumlah nutrisi yang sepatutnya diambil.

Faktor kesibukan dan tekanan juga mungkin menjadi penyebab keguguran rambut,. Selepas bersalin, wanita menjadi ibu sibuk menguruskan keperluan keluarga dan bayi yang baru lahir.  Lebih lagi, jika ibu juga harus mula bekerja selepas cuti berpantang yang lama. Menghadapi pelbagai tekanan dalam mengendalikan kesemua tugas-tugas ini membuatkan ibu tidak mempunyai masa menjaga kesihatan dan kebersihan rambutnya.

 

RAWAT DAN JAGA RAMBUT ANDA: 

Pengarah Urusan Hairkunst Hijabis, Datin Yuskiahniza berkata, rambut gugur selepas bersalin adalah normal dan tidak membimbangkan. Ia boleh dirawat dengan melakukan rawatan rambut yang bersesuaian. Antara rawatan yang dicadangkan ialah rawatan kulit kepala yang boleh dilakukan dua kali sebulan atau seminggu sekali.

Antara kebaikan rawatan kulit kepala ialah:

– Membersihkan kulit kepala

–  Mengatasi masalah kulit kepala yang berbau berbau

–  Mengurangkan masalah kelemumur dan  rambut gugur

–  Menguatkan akar rambut

–  Mengurangkan masalah kegatalan kulit kepala.

–  Mengimbangkan PH kulit kepala agar tidak terlalu kering atau berminyak .