Tip Sediakan Juadah Syawal Yang Memudahkan Kerja Anda

Masak dengan senang hati di hari perayaan.

Ingin cara mudah untuk menyediakan hidangan Syawal? Atau tidak mahu kelam-kabut apabila tetamu secara tiba-tiba muncul? Jangan stres dulu, ikuti panduan ini.

  1. Ingin sediakan Laksa Penang, Laksam atau Laksa Johor untuk tetamu? Rebus ikan dan asingkan tulangnya. Sukat isi ikan untuk 10 ke 20 orang makan, kemudian simpan di dalam peti pembeku. Bolehlah menyediakan kuah tanpa perlu merebus ikan.
  2. Sediakan puding dengan mudah? Campur satu paket serbuk agar-agar bersama satu liter air mangga, buah-buahan lain, susu coklat atau strawberi di dalam kotak. Apabila mendidih, angkat dan tuangkan ke dalam bekas. Biarkan mengeras.
  3. Kuah pasta seperti Spaghetti Bolognese boleh dibuat awal dan simpan di dalam peti pembeku. Jika ada tetamu datang, anda hanya perlu panaskan kuah berkenaan. Kemudian rebus pasta dan sajikan bersama parutan keju.
  4. Rebus daging dan simpan air rebusan untuk dijadikan stok. Kemudian boleh ditambah kepada mi bandung, mi goreng dan sebagainya. Daging ini boleh juga dibuat rendang kerana dagingnya sudah empuk dan memudahkan lagi tugasan memasak anda. Untuk masakan dendeng, anda hanya perlu carik daging terlebih dahulu dan hanya perlu ditambah ke dalam tumisan.
  5. Rebus udang dan kisar kulitnya untuk dijadikan stok. Simpan dan boleh diguna untuk menaikkan lagi rasa enak pada hidangan mi.
  6. Pastikan juga anda ada biskut savuri dan kerepek pedas serta masin kerana tetamu yang berusia lazimnya kurang tertarik dengan hidangan biskut manis, kek atau puding.
  7. Jika anda ingin menyediakan kek lapis yang tahan lama, simpan di dalam bekas yang cukup untuk satu hidangan. Cuma perlu keluarkan satu bekas pada satu masa.