Tip Persediaan dan Memasak Daging

Mudahnya menyediakan dan memasak daging.

Apakah caranya agar daging yang dimasak menjadi empuk sempurna dan berjus? Ikuti tip berguna yang disenaraikan di bawah.

raw cubes chopped meat for goulash or stew with knife, top view

Sukar juga jika anda ingin memulakan tugasan memasak, tetapi daging di dalam peti sejuk masih dalam keadaan beku. Sudah menunggu lama untuk membiarkan daging lembut, kini tiba pula masa untuk memasak. Namun, satu lagi hal membingungkan yang timbul apabila daging yang dimasak menjadi liat dan tidak enak untuk dijamah.

Semua masalah itu biasa didengari. Usah gusar, ada solusinya seperti berikut:

Cara Melembutkan Daging Beku
Biarkan daging di dalam plastik bungkusan dan letakkannya di dalam singki, sambil air paip dibuka dan mengalir pada bungkusan daging. Air paip pada suhu bilik akan memanaskan daging yang beku secara perlahan hingga ia kembali pada keadaan asal.

Cara Memotong Daging dengan Betul
Sebenarnya cara yang tepat dalam memotong daging adalah bergantung kepada bahagian lembu dan jenis hidangan yang akan dimasak menggunakan daging tersebut. Secara umumnya, anda perlu sentiasa ingat agar memotong daging berlawanan arah urat untuk mendapatkan daging yang lembut setelah dimasak.

Cara Memasak Daging Supaya Tidak Liat
Daging jenis lembut seperti batang pinang, anda perlu memasaknya dengan kadar yang cepat dan pastikan suhu dalaman daging tidak melebihi 65 darjah Celsius. Suhu yang terbaik adalah 55 ke 60 darjah Celsius.

Untuk daging jenis liat seperti di bahagian bahu atau kaki, masak daging berkenaan secara perlahan. Jangan sesekali biarkan suhu daging melebihi 70 darjah Celsius sepanjang waktu memasak. Cara terbaik ialah dengan memasak daging di dalam kuali bertutup dengan api yang kecil selama sekurang-kurangnya 4 jam. Pasti anda akan dapat hasil daging yang lembut, berjus dan yang paling penting kesegaran daging masih terpelihara.

Tip oleh Chef Nik Michael, Chef Selebriti