Tip Penyediaan Juadah Ramadan

Mudahkan tugasan memasak kala anda berpuasa.

Sudah biasa bagi kaum wanita untuk sibuk dan berhempas pulas di dapur saat masuknya bulan Ramadan. Biarpun penat dengan tugasan kerja yang digalas setiap hari, ditambah pula dengan ibadat puasa yang ditunaikan, jangan sesekali anda rasa kerja memasak itu perkara yang menyusahkan. Anda hanya perlu bijak dalam menyediakan bahan dan memasak supaya waktu yang diperuntukkan itu lebih singkat, sekali gus tidak membebankan anda.

Kaum hawa tentu ingin tahu bagaimana hendak menyediakan makanan ketika Ramadan, terutama pada hari bekerja. Inilah petua yang memudahkan urusan di dapur, terutamanya menjelang waktu berbuka puasa.

  • Elakkan air bergas atau minuman berais. Untuk menambah khasiat, hidangkan jus buah-buahan atau shake yang mengandungi susu, dadih, hirisan buah-buahan atau sayur-sayuran.
  • Sediakan piza dengan doh yang boleh dibeli. Cuma perlu sapukan sos tomato atau sos pasta, kemudian taburkan hirisan bawang, cili benggala, ham ayam, tomato dan parutan keju. Piza boleh dihidangkan dalam masa 25 minit.
  • Pada hujung minggu, rebus kacang hijau dan pulut hitam, kemudian simpan di dalam peti sejuk. Apabila hendak membuat bubur, hanya campurkan santan, gula merah dan daun pandan. Bubur siap dalam masa kurang 15 minit.
  • Apabila ada waktu, anda boleh sediakan bubur nasi. Simpan di dalam peti sejuk. Jika hendak membuat bubur lambuk ringkas, contohnya, hanya campurkan sayur-sayuran dan sedikit hirisan daging atau ayam (sudah direbus terlebih dulu sehingga empuk). Bubur siap dalam masa kurang 15 minit.
  • Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih, bawang besar dan belacan (jika suka) dengan sedikit minyak atau air. Inilah asas (bumbu) untuk memasak sambal, asam pedas, asam rebus, nasi goreng dan gulai (hanya perlu tambahkan santan).
  • Kisar cili merah, cili padi, belacan dan air asam jawa. Kalau hendak menyediakan nasi goreng, hanya tambah hirisan bawang merah, bawang putih dan bawang besar. Jika anda mahu sediakan kerabu, hanya perlu campurkan hirisan bawang merah, sayur pilihan dengan daging rebus, kerang rebus, ikan bilis atau udang kering. Ia boleh juga menjadi pencecah kepada ulam-ulaman.
  • Bahagikan sayur-sayuran di dalam bekas untuk sekali masak. Jadi, tidak perlu mengupas, memotong atau mencari apa yang hendak dimasak.
  • Gunakan periuk masak perlahan. Sebelum keluar bekerja, masukkan bahan ke dalam periuk ini dan biar ia masak sehingga waktu iftar. Apabila sampai ke rumah, hanya perlu jerang nasi, goreng sayur dan masak telur dadar, rebus telur masin, goreng ikan masin atau ikan pekasam.
  • Ingin sediakan puding dengan mudah? Campur satu paket serbuk agar-agar bersama satu liter air mangga atau buah-buahan lain di dalam kotak. Apabila mendidih, tuangkan ke dalam bekas. Biar ia mengeras.

Tip oleh Chef Norzailina Nordin