Nasi Mentega bersama Filet Ayam Rangup

Satu juadah kesukaan ramai yang mudah untuk disediakan.

Nasi Mentega Bawang Putih
Saiz hidangan: 6
Tempoh penyediaan: 45 minit

Bahan-bahan:
4 cawan beras basmathi
100g mentega
2 sudu besar perahan lemon
30ml minyak masak
10 ulas bawang putih, dicencang halus
Garam, secukup rasa

Cara Membuatnya:
1. Basuh beras dan rendam selama 20 ke 30 minit dengan satu sudu kecil garam.
2. Setelah itu, tos beras yang telah direndam dan masukkan ke dalam periuk nasi bersama lima cawan air, perahan lemon dan garam secukup rasa.
3. Tanak hingga nasi masak. Biarkan selama lima ke 10 minit.
4. Sementara itu, panaskan minyak dan mentega di dalam kuali kecil.
5. Kemudian masukkan bawang putih. Tumis hingga naik bau.
6. Tuang ke dalam periuk nasi dan gaul rata.
7. Nasi sedia dihidang.

Filet Ayam Rangup dengan Sos Oren Pedas
Saiz hidangan: 4
Tempoh penyediaan: 1 jam 30 minit

Untuk Ayam Rangup

Bahan-bahan:
5 dada ayam, dipotong nipis
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil garam
5 sudu besar tepung jagung
3 telur, dipukul sedikit
Emping jagung, diramas sedikit

Cara Membuatnya:
1. Gaul rata ayam bersama serbuk cili, serbuk lada hitam, serbuk kunyit dan garam. Perap selama satu ke dua jam.
2. Golekkan ayam yang diperap tadi ke atas tepung jagung hingga rata.
3. Kemudian celupkan ke dalam telur.
4. Selepas itu, golekkan ke dalam emping jagung hingga keseluruhan ayam disaluti emping.
5. Ulang proses hingga selesai.
6. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga keperangan dengan api sederhana.
7. Angkat dan toskan minyaknya.

Untuk Sos Oren Pedas

Bahan-bahan:
2 oren, diparut kulit orennya dan diperah jusnya
6 sudu besar gula perang
1 sudu kecil garam
6 sudu besar cuka
1 sudu kecil tepung jagung
10 ulas bawang putih, dicencang halus
10 cili padi merah, dibuang biji dan dicencang halus
1 cawan air

Cara Membuatnya:
1. Satukan kesemua bahan (kecuali ½ cawan air dan tepung jagung).
2. Masak hingga gula dan garam larut sepenuhnya.
3. Kemudian masukkan tepung jagung yang telah dibancuh dengan baki separuh cawan air tadi.
4. Masak hingga sos mendidih.
5. Sedia dihidang bersama ayam goreng rangup.

Resipi: Zulfa Zainal Abidin