Keow Whan Gai (Ayam Masak Kari Hijau)

Juadah autentik negara Thailand.

Saiz hidangan: 4
Tempoh penyediaan: 40 minit

Bahan-bahan:
400g dada ayam, dibuang tulang dan dipotong nipis
3 sudu besar pes kari hijau
1 cawan krim kelapa
2 cawan santan
3 terung Thai, dipotong empat
½ cawan terung pipit
3 cili merah, dihiris serong
3 daun limau purut, dikoyak
½ cawan daun selasih
3 sudu besar sos ikan
1 ½ sudu kecil gula melaka

Untuk Pes Kari Hijau
Bahan-bahan:
15 cili padi hijau
5 cili hijau besar
5 bawang merah, dihiris
10 ulas bawang putih
1 sudu kecil lengkuas, dihiris halus
1 sudu besar serai, dihiris
½ sudu kecil kulit limau purut, dihiris halus
2 sudu kecil akar ketumbar, dicencang
5 peppercorn
1 sudu besar biji ketumbar panggang
1 sudu kecil jintan panggang
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil belacan

Cara Membuatnya:
1. Untuk menyediakan pes kari hijau, tumbuk peppercorn, biji ketumbar panggang, jintan panggang, kesemua cili dan garam. Kemudian tambahkan lengkuas, serai, kulit limau purut, akar ketumbar, bawang putih dan bawang merah. Tumbuk sekata. Kemudian masukkan belacan dan tumbuk hingga semua bahan sebati.
2. Masukkan krim kelapa ke dalam periuk dengan api sederhana. Kacau rata sehingga pecah minyak, kemudian masukkan pes kari hijau yang telah siap tadi. Biarkan hingga naik bau.
3. Kemudian masukkan ayam dan daun limau purut. Kacau rata. Tambah santan dan biarkan mendidih. Perasakan dengan gula dan sos ikan.
4. Setelah itu, masukkan pula kesemua terung dan biarkan masak. Taburkan daun selasih dan cili merah. Padamkan api dan sedia untuk dihidang.