Kek Matcha dengan Kacang Merah oleh Kek&Co

Kelainan rasa membawa keterujaan dengan kek matcha berinti istimewa ini.

Saiz hidangan: 6
Tempoh penyediaan: 1 jam 30 minit

Bahan Kek:
1 cawan mentega tanpa garam, pada suhu bilik
1 ½ cawan gula pasir
2 sudu besar serbuk matcha
¼ cawan madu
4 telur, pada suhu bilik
3 cawan tepung serba guna
1 sudu kecil garam
2 sudu kecil serbuk penaik
1 cawan buttermilk, pada suhu bilik

Bahan Inti Kacang Merah:
1 tin kacang merah (yude azuki)

Cara Membuatnya:
1. Panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah Celsius. Sapukan sedikit mentega pada tiga acuan kek lapan inci dan letakkan kertas parchment. Ketepikan.
2. Dalam mangkuk pengadun, pukul mentega dan masukkan gula. Pukul lagi hingga sebati. Kemudian masukkan serbuk matcha, diikuti dengan madu dan telur satu demi satu. Adun sebati dengan kelajuan perlahan hingga sebati.
3. Dalam mangkuk besar, campurkan tepung, garam dan serbuk penaik. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit, berselang dengan buttermilk. Adun hingga sebati.
4. Bahagikan adunan kek kepada tiga acuan. Bakar selama 30 ke 35 minit. Setelah siap, biarkan sejuk seketika sebelum keluarkan daripada acuan.

Bahan Krim Mentega Matcha:
1 cawan mentega tanpa garam, pada suhu bilik
3 cawan gula confectioner
2 sudu besar serbuk matcha
½ sudu kecil ekstrak vanila
Secubit garam
1 sudu besar susu

Cara Membuatnya:
1. Pukul mentega hingga lembut. Kemudian masukkan campuran gula dan serbuk matcha yang telah diayak bersama, sedikit demi sedikit.
2. Masukkan pula ekstrak vanila, garam dan susu. Adun hingga sebati dan menepati cita rasa. Ketepikan.

Cara Menyiapkan Kek:
1. Lenyekkan sedikit kacang merah dan ketepikan.
2. Ratakan permukaan kek yang telah siap. Letakkan satu lapisan pada pinggan. Sapukan lapisan nipis krim mentega pada permukaan kek.
3. Paipkan sedikit krim mentega pada sepanjang tepi kek. Kemudian sapu rata separuh daripada pes kacang merah dalam sempadan krim mentega tadi.
4. Ulang dengan lapisan kek kedua.
5. Akhiri dengan lapisan kek ketiga dan sapukan krim mentega pada keseluruhan luaran kek. Ratakan dan hias mengikut kreativiti.
6. Biarkan kek sejuk dalam peti sejuk. Keluarkan seketika sebelum menghidang.