Sebab Anda Perlu Cuba Diet Haruan, Sekarang!

Selain enak disajikan sebagai bahan utama dalam masakan, haruan yang turut dikenali sebagai ikan gabus memiliki manfaat hebat dalam penyembuhan luka.

Mungkin ramai yang masih kurang terdedah dengan hakikat bahawa diet yang cenderung kepada pemakanan ikan sememangnya menunjukkan perbezaan ketara pada tubuh seseorang. Biarpun ikan baik untuk kesihatan, namun yang paling menyerlah khasiatnya adalah Channa Striatus atau dikenali sebagai Haruan.

 

Apa Itu Haruan?

Haruan adalah hidupan karnivor air tawar. Ia makan ikan lain yang lebih kecil dan banyak ditemui di kawasan sungai dan tasik. Ikan Haruan juga boleh diternak, tetapi tidak begitu popular di Malaysia seperti mana usaha penternakan Keli dan Tilapia. Namun hal sedemikian bakal berubah berikutan hasil kajian Universiti Monash dan apabila ekstrak Haruan dikomersialkan untuk aplikasi nutraseutikal.

Fungsi Ekstrak Haruan

Umum mengetahui bahawa pesakit yang mengambil Haruan selepas menjalani pembedahan cenderung untuk sembuh lebih cepat. Untuk mempelajari sebabnya, kami telah menjalankan kajian saintifik mengenai penyembuhan luka selepas pembedahan pintasan graft arteri koronari. Kajian rawak yang terkawal melibatkan pemantauan prestasi dan kadar penyembuhan pesakit yang diberi pil ekstrak Haruan berbanding yang diberikan plasebo menunjukkan hasil yang menakjubkan. Ekstrak Haruan ketara mempercepatkan proses penyembuhan luka. Ekstraknya juga mempunyai kesan anti-nosiceptif yang membantu mengurangkan rasa sakit. Pesakit yang lebih selesa dan kurang tertekan akan pulih lebih cepat.

Ekstrak Haruan memiliki kandungan tertentu yang berkuasa dalam membantu penyembuhan luka dengan lebih cepat. Haruan mengandungi glisin, asid amino penting yang diperlukan. Ia juga mempunyai asid arakidonat dan asid lemak tak tepu pada tahap tinggi yang menghasilkan kesan anti-radang serta menggalakkan sintesis prostaglandin yang membantu badan menangani kerosakan atau jangkitan tisu.

Ia juga menggalakkan pembentukan semula kolagen melalui sintesis sambung-silang inter dan intramolekul protein. Ini menghasilkan peningkatan ketara dalam kekuatan tegangan yang menyegerakan penyembuhan luka. Ekstrak Haruan mungkin mempunyai aplikasi lain di luar penggunaannya untuk pembedahan. Secara teori, ia dapat membantu proses penyembuhan pelbagai jenis luka kulit.

Diet Ikan Haruan

Selain menggoreng, untuk mendapatkan khasiat pemakanan terbaik daripada Haruan, anda disarankan untuk menyediakannya sebagai sup panas atau bubur.

*Daripada pakar, Dr Ahmad Faroukh Musa, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah, Universiti Monash.