Perkara Yang Kena Buat Jika Inginkan Kek Yang Sedap Dan Elok

Kek akan jadi lebih enak jika anda ikut peraturan ini.

Membuat kek tidak semudah yang dilihat di kaca televisyen. Walaupun anda membuatnya mengikut resipi namun hasilnya mungkin tidak seperti yang dibayangkan. Mungkin kek akan menjadi bantat atau kurang menjadi dan rasanya pula tidak sedap seperti yang diharapkan. Ini ada beberapa perkara yang perlu anda buat jika inginkan kek yang sedap dan elok.

Gambar: Shutterstock

Periksa bahan dan peralatan

Sebelum memulakan untuk membakar atau membuat kek, pastikan anda periksa dahulu bahan yang ingin digunakan masih elok dan belum tamat tempoh, segar dan tempat penyimpannya juga sesuai. Untuk bahan seperti mentega, margerin dan telur yang akan digunakan, simpan di dalam suhu bilik. Peralatan yang digunakan juga harus bersih, kering dan juga bebas daripada lemak.

Resipi kek kena tepat

Perkara paling penting yang perlu diambil perhatian ketika membuat kek adalah resipi. Proses pembuatan kek agak sensitif jika tidak kena dengan gabungan dan sukatannya.  Cara paling senang untuk anda ikut adalah melihat jenis resipi. Jika ia sukat menggunakan gram, maka anda perlu menimbang mengikut gram. Begitu juga dengan menggunakan sukatan cawan. Elakkan daripada mencongak sendiri, kerana tidak seperti masakan yang anda boleh tambah bahan ke dalam untuk dapatkan rasa yang lebih enak, kek tidak akan menjadi jika salah sukatan.

Cara pukul adunan

Ketika memukul telur, gunakan kelajuan rendah agar ia boleh bercampur dengan gula dan bahan lain. Tambahkan kelajuan hingga adunan menjadi kembang.

Ikut aturan

Pastikan anda mengikut setiap aturan yang telah ditetapkan di dalam resipi satu persatu. Anda juga perlu memastikan adunan dikacau dengan satu arah sahaja dan elakkan daripada sentiasa mengacau adunan bagi mengelakkan kek yang agak mampat dan tigak gebu.

Proses membakar kek

Proses yang paling penting dalam pembuatan kek adalah ketika proses membakar. Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah memanaskan oven kira-kira lima hingga 10 minit kek dibakar. Suhu mestilah bersesuai dengan resipi. Apabila kek sudah dimasukakn dalam oven, suhu tidak boleh terlalu tinggi atau rendah. Jika suhu terlalu tinggi maka bahagian tepi kek akan cepat masak sedangkan bahagian dalam kek masih lagi mentah manakala jika suhu terlalu rendah, ia akan membuatkan kek menjadi bantat. Elakkan daripada membuka pintu oven sebelum kek mengembang kerana kek akan menjadi kempis kerana terkena angin.

Uji kek

Untuk menguji sama ada kek telah dimasak dengan sempurna atau tidak, gunakan lidi atau garfu. Cucukkan lidi atau garfu di bahagian tengah kek secara menyerong. Jika bahagian hujung lidi atau garfu itu licin dan tiada sebarang kesan, itu bermaksa kek telah masak.

Hias kek

Sebelum anda memulakan proses menghias kek, pastikan kek sejuk terlebih dahulu dan permukaan mengeras. Ini adalah supaya krim atau ganache yang digunakan tidak meleleh. Jika anda ingin mengisi krim atau jem di bahagian tengah kek, belahkan kek terlebih dahulu. Gunakan pisau bergerigi untuk membelah kek agar hasilnya lebih cantik. Untuk hasil potongan yang lebih lurus, buat tanda terlebih dahulu di sekeliling ke dengan mengunakan pisau lalu belah dengan perlahan.

Sumber: Kompilasi tips daripada Riez The Delicious, Amie’s Little Kitchen, Puteri’s Oven dan Cooking Light