Kenali Rempah-Ratus Dalam Masakan

Chef Norman Musa berkongsi rahsia khasiat rempah ratus dan cara terbaik menyimpannya

Bercakap mengenai rempah-ratus, sebenarnya ramai yang tidak tahu rempah-ratus yang diguna dalam makanan seharian mempunyai khasiat yang banyak, seperti juga ulam-ulaman yang boleh didapati di Malaysia. Berikut adalah serba perkongsian daripada Chef Norman Musa.

Chef Norman sebagai duta jenama rempah-ratus Kumar’s yang terkenal di Eropah. Foto daripada akaun Chef Norman Musa.

Sepanjang berkecimpung dalam kerjaya chef, banyak yang telah saya pelajari tentang khasiat rempah-ratus sama ada dengan membuat kajian sendiri ataupun belajar daripada chef dari negara lain seperti India yang begitu terkenal dengan rempah-ratus yang digunakan dalam masakan mereka. Saya ingin berkongsi khasiat dan cara betul untuk menggunakan rempah-ratus serta cara terbaik untuk menyimpannya.

Baca juga: ITIK REMPAH MEDITERRANEAN OLEH ILI SULAIMAN

1 of 3

 

Penggunaan Dalam Masakan

Buah pelaga, yang begitu kuat baunya memang banyak diguna dalam masakan, termasuklah manisan. Seperti resipi kek coklat yang saya perkenalkan bersama krim berperisa buah pelaga dan kacang pistachio. Sebenarnya ada tiga jenis buah pelaga – hijau, putih dan hitam. Buah pelaga hijau ialah yang selalu kita guna dan antara buah pelaga yang terbaik. Buah pelaga putih sebenarnya berasal daripada pelaga hijau, tetapi dilunturkan warna dan rasa, jadi ia tidak begitu kuat jika dibandingkan dengan pelaga hijau. Pelaga hitam pula memiliki rasa dan bau yang lain. Bau seakan kayu yang telah diasap tidak sesuai digunakan di dalam manisan. Saiznya lebih besar jika dibandingkan dengan pelaga yang lain. Cara yang betul untuk mengggunakan pelaga ini ialah dengan mengetuk sedikit untuk mengeluarkan baunya sebelum dimasukkan ke dalam masakan.

Antara rempah-ratus yang selalu saya simpan di dapur ialah ketumbar, jintan manis, jintan putih, lada hitam, kulit kayu manis, bunga lawang, pelaga dan cengkih. Jika anda ada semua rempah ini bersama dengan serbuk kunyit dan serbuk cili, anda boleh hasilkan rempah kari sendiri. Caranya begitu mudah sekali iaitu sangai tanpa menggunakan minyak dan kisar hingga halus. Inilah cara yang selalu saya guna untuk menghasilkan rempah sendiri. Ramuan untuk rempah kari daging saya akan lebihkan sedikit jintan putih dan untuk rempah ikan atau makanan laut, saya akan lebihkan sedikit jintan manis.

1 of 3