Apakah Hidangan Telur Kegemaran Anda?

Daripada sebiji telur, anda boleh olahkan menjadi pelbagai jenis hidangan!

Terdapat pelbagai cara untuk memasak telur yang boleh memikat selera ramai dan dipadankan sebagai hidangan pagi, tengahari mahupun malam. Biarpun nampak mudah untuk disediakan, telur perlu dimasak dengan cara betul supaya dapat menghasilkan juadah sempurna lagi enak.

Kaedah Memasak Telur

Telur Goreng
Cara terbaik untuk menggoreng telur adalah dengan menggunakan kuali tidak melekat dan kuantiti minyak tidak melebihi satu sudu besar.

Telur Rebus
Untuk menghasilkan telur kuning yang cantik, didihkan air dan masukkan telur sebanyak empat biji serta rebus selama lapan minit. Kemudian angkat dan basuh telur dengan air sejuk untuk mematikan haba yang masih tersimpan di dalam telur. Jika anda menggemari telur kuning yang sedikit cair, kurangkan masa merebus kepada enam minit. Cara untuk membelah telur dengan kemas adalah dengan menggunakan benang atau pisau yang tajam.

Jika kulit telur yang direbus retak dan putih telur mengalir keluar, cara terbaik untuk mengelak perkara sebegini dari berterusan adalah dengan masukkan satu sudu cuka ke dalam air yang sedang mendidih dan kacau.

Poached Egg
Kaedah poaching atau merebus telur tanpa kulit dan kuning telur masih cair memang menjadi kegemaran rakyat Eropah. Hidangan Egg Royale begitu popular, di mana telur yang telah direbus tanpa kulit dihidangkan bersama hirisan salmon salai bersama sos hollandaise – campuran telur kuning dan mayones bersama jus lemon.

Untuk mendapatkan telur poached yang cantik, panaskan air di dalam periuk dengan api kecil dan masukkan satu sudu besar cuka. Air tidak perlu dididihkan, cuma dipanaskan dengan api yang kecil. Pecahkan telur dan masukkan ke dalam mangkuk kecil atau cawan dan tuangkan dengan perlahan di dalam air yang sedang panas. Masak selama tiga ke empat minit sehingga putih telur menjadi pejal, tetapi masih lembut pada bahagian kuning telur. Gunakan senduk berlubang untuk mengangkat keluar telur yang telah masak.

Scrambled Egg
Untuk mendapatkan telur hancur yang enak dan lembut, pukul dua telur bersama dengan dua sudu besar susu segar dan masukkan garam serta lada hitam yang dikisar secukup rasa. Jika anda ingin pelbagaikan ramuan, anda boleh masukkan herba segar atau kering seperti basil, oregano atau rempah seperti paprika. Anda boleh juga gunakan herba tempatan seperti serai yang dihiris halus, pegaga atau daun kunyit. Setelah digaul, panaskan kuali leper dengan sedikit mentega dan biarkan cair. Kemudian masukkan telur dan kacau hingga masak sepenuhnya. Resipi ini boleh juga dimasak sebagai telur dadar.

Omelette
Spanish Omelette juga menjadi kegemaran ramai dengan menggunakan bahan seperti bawang, tomato ceri, kacang buncis, ayam rebus dan sayur-sayuran yang digaul bersama telur yang sudah dipukul sedikit kembang. Ia kemudian diperasakan dengan garam dan lada hitam dan digoreng bersama sedikit minyak. Untuk menambah keenakan, anda boleh masukkan sedikit kicap masin.

Seperti telur pindang Johor atau telur masin, rakyat Eropah juga gemar menjerukkan telur di dalam cuka supaya tahan lama. Telur yang telah direbus dan dikupas kemudian direndam di dalam cuka dan mampu bertahan selama beberapa bulan.

Bezakan Telur Lama dan Baru:
• Telur baru – selepas dipecahkan, telur putih masih lagi nampak pejal.
• Telur lama – telur putih bertukar menjadi cecair.
• Untuk mengetahui telur baru atau lama tanpa memecahkannya, masukkan telur dalam gelas berisi air. Jika telur tersebut tenggelam, maka ia adalah telur baru. Jika timbul, telur itu lama.

Tip oleh: Chef Norman Musa, Chef kelahiran Malaysia kini menetap di United Kingdom dan memperkenalkan masakan Malaysia di Eropah.