Fenomena Minuman Boba – Resipi DIY Untuk Anda Cuba

Mencipta ketagihan melampau!

Minuman teh buih yang juga dikenali sebagai pearl milk tea, bubble milk tea ataupun boba berasal dari daerah di Taiwan iaitu di Tainan dan Taichung sekitar tahun 1980-an. Resepinya mengandungi teh berperisa, susu segar dan gula perang. Untuk menambahkan lagi rasa, ia juga dihidangkan dengan pearls atau boba yang kenyal dan empuk, diperbuat daripada tepung ubi kayu, jeli buahan, agar-agar, ataupun puding.

Minuman popular dari Taiwan ini telah memasuki pasaran Malaysia beberapa tahun lalu dan kini kembali menjadi fenomena dengan kemunculan beberapa kedai. Jenama seperti Xing Fu Tang, The Alley, Tiger Sugar dan banyak lagi antara kedai minuman boba yang popular ketika ini dan masing-masing tampil dengan rasa yang unik dan berbeza.

Untuk anda yang menggemari minuman boba, mungkin pernah terfikir untuk membancuhnya sendiri di rumah. Jom lihat resipi minuman boba dan anda juga boleh bereksperimen dengan resipi tambahan pilihan.

BAHAN -BAHAN
1/4 cawan dried boba tapioca pearls 
1 – 2 teh uncang pilihan (selalunya teh hitam adalah perasa terbaik)
1 – 2 cawan air
1/2 cawan gula perang / gula melaka
Susu segar / susu kacang badam / susu sejat manis
Buahan kiub atau jeli buahan (opsyen)

CARA PENYEDIAAN
Tuang dua cawan air untuk kapasiti 1/4 boba tapioca pearls.
Panaskan air sehingga mendidih dan barulah masukkan boba tapioca pearls dan kacau sehingga ia terapung.
Rebus boba sehingga 10 minit dan kemudian tutup api, tutup periuk dan biarkan sehingga 10 minit.
Panaskan 1/2 cawan air sehingga mendidih. Tutup api, masukkan gula perang dan kacau sehingga melekit seperti karamel.
Rendam teh dan biarkan ia suam sekitar 15 minit.
Tapis boba tapioca pearls daripada air rendaman tadi dan masukkan  ke dalam cawan.
Tuang beberapa sudu gula perang tadi mengikut kemanisan yang anda suka.
Kemudian tuang teh pilihan anda dan susu segar.
Hidangkan bersama beberapa ketulan kiub ais.

NOTA HIDANGAN
Untuk mendapatkan minuman boba yang sejuk dan menyegarkan, campurkan teh, susu dan gula perang bersama kiub ais di dalam shaker dan goncang beberapa saat sehingga sedikit berbuih.

Jika anda merebus terlalu banyak boba, boleh disimpan di dalam peti ais dengan merendam dalam air gula perang. Jadi anda boleh menggunakannya lagi untuk hidangan seterusnya dalam masa dua minggu sahaja. Boba akan menjadi liat dan keras jika dibiarkan terlalu lama tanpa merendamkannya di dalam air gula.

Boba tapioca pearls boleh didapati di pasaraya tempatan ataupun dalam talian.

Sumber resipi: www.thekitchn.com
Kredit Foto: Laman web Xing Fu Tang/Pinterest