A&W Buka Cawangan Baru Di EkoCheras Mall

A&W kini di EkoCheras Mall

Restoran makanan segera terkenal, A&W Malaysia mencatat sejarah tempatan sebagai restoran makanan segera yang pertama di Malaysia. Tahun ini, secara rasminya ia telah membuka kedai ke-47 di EkoCheras Mall. Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh penyanyi dan pelakon Malaysia, Nabila Razali serta Ketua Pegawai Eksekutif A&W Malaysia, George Ang dan Encik David Lee, Pengarah Rantaian Pembekalan dan Teknikal, A Great American Brand Sdn. Bhd.

Rangkaian restoran tersebut punyai rancangan baru untuk meremajakan jenama A&W di Malaysia dan menyasarkannya untuk menarik pelanggan daripada generasi muda. A&W sudah menapak di hati rakyat Malaysia selama lebih dari setengah abad dengan makanan yang semestinya cukup popular di kalangan pelanggan setia A&W iaitu root beer, minuman float, burger, wafel aiskrim dan tidak ketinggalan maskot kesayangan ramai, Rooty the Great Root Bear.

Sebagai jenama yang paling awal dalam industri makanan segera di Malaysia, jenama itu telah merangka rancangan untuk memanfaatkan warisan yang kaya di Malaysia untuk membuat kemunculan terbesar dan menarik semula hati pengguna muda. Rancangan ini juga yang akan dilancarkan ketika jenama A & W ini meraikan ulang tahun yang ke-100 di seluruh dunia tahun ini.

Dengan peremajaan jenama ini, syarikat induk A & W Malaysia, Inter Mark Resources Sdn. Bhd telah merancang untuk meningkatkan bilangan restoran di negara ini kepada 60 menjelang akhir tahun 2019 dan 100 menjelang akhir tahun 2021. Ini berikutan pengambilalihan seluruh cawangan A & W Malaysia  oleh Inter Mark Resources Sdn. Bhd. dari KUB Malaysia Berhad pada September tahun lepas.

Dengan pembukaan cawangan baru di EkoCheras Mall, A & W semuanya telah bersedia untuk mencatatkan satu perjalanan baru untuk jenama ini di Malaysia dan mencipta banyak lagi kenangan di A&W.