Adab Sebagai Tuan Rumah Kala Beraya

Adab yang mesti dipatuhi apabila menjemput tetamu beraya ke rumah.

Susun atur, menu dan persalinan apakah yang ingin digayakan mungkin menjadi persoalan utama selain mengambil kira berapakah jumlah tetamu yang mungkin hadir pada Lebaran. Lebih-lebih lagi pada hari perayaan, tetamu mungkin ramai atau mungkin juga kurang kerana kita lazimnya tidak menghantar jemputan, sebaliknya tetamu hadir atas kapasiti sendiri untuk memanjangkan silaturahim.

Sehubungan itu, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi menjadikan kedudukan anda sebagai ruan rumah dilihat teratur dan tahu apa yang sepatutnya dilakukan untuk meraikan tetamu. Bahkan ini mungkin boleh membantu anda mengadakan persiapan untuk hari berkenaan.

Susun Atur Ruang

Terlebih dahulu, pastikan susun atur perabot sesuai atau tidak untuk menerima tetamu dalam jumlah yang agak besar. Katalah anda meletakkan jumlah 50 tetamu akan hadir, justeru susun perabot sebaik mungkin supaya ada ruang untuk tetamu. Jika ruang utama tidak besar pun tidak menjadi masalah, sebaiknya kedudukan perabot biar rapat pada sudut dan ada kawasan lapang di tengah ruang utama itu. Mungkin langkah membentang permaidani atau tikar di bahagian tengah ruang menjadikan kawasan berkenaan tampak lebih luas selain tetamu faham bahawa mereka boleh duduk atau bersimpuh di situ sambil menikmati hidangan.

Rancang Penyediaan Hidangan

Langkah kedua, sediakan beberapa menu yang boleh dihidangkan sehingga lewat petang untuk memudahkan anda menjamu tetamu yang mungkin datang di penghujung hari. Jika tidak mahu menyediakan menu berat seperti nasi, makanan mudah disediakan tapi mengenyangkan seperti mihun, mi goreng atau roti jalan juga sesuai dihidangkan tanpa mengira waktu. Untuk lebih mudahkan tugas, anda boleh sediakan bahan mentah dan dimasak apabila tetamu sudah ada di rumah. Makanan lebih segar dan tetamu juga pasti ceria menikmati makanan panas.

Sediakan Makanan Tambahan

Tip seterusnya, sediakan kek dan biskut sebagai hidangan tambahan dan letakkan meja kecil atau yang bersesuaian di mana-mana sudut yang sesuai. Ini perlu dilakukan bagi mengelakkan tetamu bertumpu pada tempat makan yang sama. Jadi, jika ada dua ‘stesen’ makanan, tetamu boleh membuat giliran dengan menuju ke stesen yang tidak ramai terlebih dahulu. Ini juga memudahkan anda sebagai tuan rumah untuk memantau hidangan mana yang perlu ditambah. Sama juga dengan minuman, sediakan lebih air suam atau air mineral di dalam botol plastik. Anda boleh membeli air mineral 250ml untuk memudahkan tetamu minum dan anda juga tidak perlu bersusah payah menyediakan air kosong setiap kali ditanya tetamu.

Pastikan Ruang Mesra Tetamu

Tindakan lain yang boleh dilakukan ialah pastikan perhiasan rumah pada hari berkenaan sesuai dengan tema atau tidak membahayakan tetamu yang hadir dengan kanak-kanak. Seperti yang kita sedia maklum, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi, jadi mereka mungkin mencapai apa saja barangan cantik di depan mata. Barang perhiasan kaca terutama, ia tidak mustahil menarik perhatian kanak-kanak. Jadi, susun perhiasan sebegini di tempat yang tinggi atau lebih senang, usah peragakan langsung di almari perhiasan anda. Barang tidak rosak, hati tidak gundah dan tetamu pun tidak risau andai mereka ada anak kecil.

Sebetulnya, menjadi tuan rumah untuk sambutan perayaan amat menyenangkan kerana kita bukan saja berpeluang menjamu selera tetamu, silaturahim juga bersambung erat di hari baik, bulan baik.