Tip Bersenam Ketika Bulan Ramadan

Ada caranya untuk melakukan senaman ketika bulan Ramadan.

Bersenam ketika berpuasa bukan perkara yang mudah untuk dilakukan tetapi ia tidak mustahil jika anda tahu cara atau panduan yang betul.

Gambar: Freepik

Masa Yang Sesuai Untuk Bersenam

Jika anda bercadang untuk bersenam, pastikan anda tahu masa yang sesuai untuk melakukan senaman.

Sejam sebelum berbuka

Menurut Kevin Zahri, pelatih peribadi dan pakar nutrisi dari Amerika Syarika menyarankan sejam sebelum berbuka puasa, anda boleh melakukan senaman ringan dan rendah intensi seperti brisk walk, slow jog atau aktiviti dengan kadar HR tidak melebihi 65 peratus.

Selepas berbuka puasa

Masa ini sesuai kerana badan anda sudah mendapatkan sedikit makanan dan minuman. Tetapi, ia juga bergantung kepada berapa banyak masa yang boleh anda luangkan antara berbuka puasa dan sembahyang Tarawih. Menurut theasianparent.com, anda boleh melakukan rutin senaman yang pendek tetapi dengan intensiti yang lebih tinggi

Selepas sembahyang Tarawih

Jika anda masih mempunyai masa selepas sembahyang Tarawih, gunakan masa ini untuk melakukan senaman. Makan selepas melakukan senaman, ini dapat membantu pemulihan otot, pertumbuhan otot dan menghilangkan lemak badan.

Sebelum sahur

Mungkin anda merasakan masa ini tidak praktikal untuk bersenam. Tetapi, jika anda mempunyai disiplin untuk bangun awal, anda boleh melakukan rutin senaman. Hal ini dapat membantu untuk meningkatkan tenaga badan sepanjang hari. Caranya mudah, 30 minit sebelum memulakan senaman, minum air dengan banyak dan makan makanan ringan. Selepas bersenam, minum air dengan banyak dan makan makanan yang padat nutrien untuk memberi anda tenaga sepanjang hari.

Jenis Senaman Yang Boleh Dilakukan

Semasa berpuasa, jenis senaman yang dilakukan tidak sama dengan senaman yang biasa dilakukan ketika anda tidak berpuasa.

Menurut Kevin Zahri, jenis senaman kardio dalam keadaan puasa adalah sangat bahaya. Ini kerana senaman intensiti tinggi tanpa air sememangnya  bahaya dan ia boleh mengakibatkan pelbagai risiko kecederaan, pengsan, serangan jantung dan pelbagai masalah kesihatan yang lain.

Menurut The Asian Parent, di bulan puasa ini, senaman yang boleh dilakukan adalah latihan rintangan. Amallkan latihan rintangan dua hingga tiga kali seminggu. Dan, jika anda masih ingin melakukan senaman kardio, anda perlu hadkan senaman tersebut kepada satu atau dua kali seminggu untuk 20 hingga 30 minit setiap sesi dengan intensiti ringan hingga sederhana. Senaman ini membantu untuk mengekalkan keadaan tisu otot pejal.

Tarawih Sebagai Senaman

Bagi Kevin Zahri, solat Tarawih dapat membantu untuk membakar sehingga 200 ke 300 kalori bergantung kepada durasi dan suhu masjid atau  surau yang dikunjungi.

Tambahnya lagi, ia juga dapat membantu kesihatan jasmani dan rohani lebih lagi jika anda berjalan kaki untuk ke masjid.

Jaga Pemakanan

Berpuasa bukan bermakna anda boleh mengikut nafsu makan sewaktu berbuka nanti. Pemakanan haruslah dijaga. Menurut The Asian Parent, anda tidak digalakkan untuk makan makanan dengan kalori rendah kerana ia akan menyebabkan badan anda lemah dan sekali gus menghalang penurunan berat badan.

Sumber: Kevin Zahri dan The Asian Parent Malaysia