Adakah Minuman Sukan Itu Baik Untuk Tubuh?

Ketahui jika minuman sukan itu baik untuk tubuh anda atau sebaliknya.

Minuman sukan merupakan minuman wajib untuk ahli sukan. Minuman yang hadir dalam pelbagai warna ini dikatakan dapat membantu atlet ketika mereka sedang bersenam atau melakukan aktiviti sukan. Meminum minuman ini juga turut diamalkan oleh individu biasa (bukan ahli sukan) kerana ia dikatakan dapat membantu meningkatkan prestasi senaman. Persoalannya, adakah minuman sukan ini baik untuk tubuh? Dan, adakah minuman ini baik untuk tubuh anda?

minuman sukan

Gambar: Shutterstock

Menurut Ahmad Kasyful Azim, pakar serta jurulatih kecergasan, mengamalkan minuman sukan ini selalunya bergantung mengikut situasi. Namun baginya, air adalah yang paling berfaedah untuk tubuh manusia. Ini kerana air tidak mempunyai kalori. Penggunaan minuman sukan ini biasanya diamalkan dalam aktiviti sukan dan olah raga kerana minuman ini amat membantu menaik taraf prestasi atlit dalam arena sukan.

Minuman sukan ini mempunyai banyak vitamin yang berguna untuk tubuh badan dan ia juga dipercayai dpat membantu meningkatkan stamina dan atlit akan jadi lebih fokus ketika sedang bersukan. Kebiasaannya, atlet yang menggunakan minuman sukan ini akan mengamalkan gaya hidup Eat Clean di mana atlet sukan akan mendapatkan manfaat daripada minuman sukan. Disebabkan minuman sukan ini kaya dengan vitamin, ia dikatakan dapat membantu anda mendapatkan tubuh yang sihat.

Bagi Kasyful Azim, minuman sukan ini boleh diminum apabila anda ingin melakukan aktiviti sukan dan juga senaman. Dia tidak menggalakkan pengambilan minuman sukan ketika waktu santai. Ini kerana air adalah yang paling penting dalam menghidrasikan tubuh manusia.

Kelebihan Minuman Sukan

Karbohidrat: Minuman sukan akan menyediakan dua hingga 19 gram karbohidrat setiap lapan auns. Karbohidrat datang dalam bentuk gula atau glukosa polimer. Ia penting jika anda telah melakukan latihan berat selama lebih dari satu jam.

Natrium: Semua minuman sukan mengandungi beberapa natrium, biasanya antara 35 dan 200 mg setiap lapan auns. Natrium membantu badan mengekalkan air.

Potasium: Kebanyakan minuman sukan juga mempunyai antara 15 dan 90 mg potasium setiap lapan auns. Menurut artikel unitypoint.org, doktor menyarankan untuk memilih minuman yang lebih tinggi dalan natrium, jika anda mengambil bahagian dalam aktiviti yang memerlukan ketahanan yang berpanjangan atau anda kuat berpeluh.

Asid Amino: Sesetengah minuman sukan juga turut mengandungi asid amino. Asid amino dikatakan dapat meningkatkan pemulihan otot. Namun, jika anda mengamalkan makanan yang seimbang, anda mungkin tidak memerlukan bahan tambahan ini.

Sumber: Unitypoint.org dan hasil temubual bersama Ahmad Kasyful Azim (pakar serta jurulatih kecergasan).